Tuesday, November 9, 2010

Ibadah Korban di Surau Al-Jabbar pada hari Raya Pertama...Datanglah beramai-ramai

Pengumuman...
kepada para jemaah dan penduduk di Taman Emas dan Taman Kristal 2 dan tetamu allah yg di hormati...Surau Al-Jabbar akan mengadakan ibadah korban. Di minta kepada sesiapa sahaja yang berhari raya di sini atau yang tak balik beraya di kampung boleh lah datang ke surau Al-Jabbar untuk sama2 menyempurnakan ibadah korban.

Datanglah beramai bersama keluarga untuk bergotong royong...kerana 2 ekor lembu akan di korban kan pada Hari Raya tersebut.

Kami dari AJK surau Al-Jabbar mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha Maaf Zahir dan Batin.

Sekian Wassalam
Dari Ajk surau Al-jabbar
*Untuk keterangan lanjut sila berhubung dengan AJK atau berjumpa terus di Surau Al-Jabbar pada waktu maghrib atau insyak selepas solat

Allah berfirman:

“Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang benar!”. (As-Saffat, 37:102)

MENYELUSURI SUNNAH RASULULLAH DALAM IBADAH KORBAN

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T... Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan adalah setiap amal ibadat yang tersebut (yang hendak dilaksanakan) hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya kedua-dua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, 2)

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:

"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” (Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258)

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab, 21)

Begitu juga menurut suatu hadis riwayat Muslim, maksudnya:

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” (Sahih Muslim, 1718)

Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

Pertamanya, dalam persoalan hukum ibadah korban ini, para ulama telah berselisih pendapat dalam hal kewajiban penyembelihan binatang korban. Tetapi menurut pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Lihat: احكام العيدين hlm. 26. Ali Hasan Ali Abdul hamid) Ini bermakna setiap muslim yang berkemampuan wajib menunaikan kewajipan korban di setiap kali menjelangnya Aidil Adha (Hari Raya Korban).

Berkorban hanya sah dilakukan setelah selesai solat Hari Raya ‘Idil Adha atau di hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu menyembelih korban, sehinggalah selepas selesai solat (Aidil Adha)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Allah Azza wa-Jalla telah memerintahkan agar orang-orang beriman berkorban setelah menjelangnya ‘Idil Adha (Hari Raya Korban). Kewajipan berkorban telah disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Umat Islam diperintahkan agar mengikut millah (agama) Nabi Ibrahim sebagaimana seruan Allah Azza wa-Jalla di dalam firman-Nya:

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu hendaklah mengikut millah (syariat) Ibrahim yang berdiri teguh atas jalan yang benar, dan bukanlah dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah”. (An-Nahl, 123)

Perintah Allah Tabaraka wa-Ta’ala menunjukkan tentang wajibnya berkorban, sehingga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah Azza wa-Jalla kepadanya. Allah berfirman:

“Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang benar!”. (As-Saffat, 37:102)

Jika Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup mengorbankan satu-satunya anak yang tersayang, Nabi Ismail pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tak ternilai kerana taat menunaikan perintah Allah dan cintanya kepadaNya, maka dimana bukti cinta seseorang yang mengaku beriman terhadap Rabbnya, mengapa tidak mengorbankan sedikit dari hartanya, iaitu dengan menyembelih seekor binatang korban di ‘Idil Adha.

DALIL-DALIL MENUNJUKKAN TUNTUTAN BERKORBAN

Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh (generasi awal) yang menyatakan bahawa berkorban hukumnya jatuh kepada wajib apabila ada kemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)

Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.

“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Di masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))

“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)

Telah dijelaskan dalam kitab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:

“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)

“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berkorban untuk orang yang belum berkorban dari umatnya dengan seekor kambing kibasy”. (Hadis Riwayat al-Barra’ bin Azib)

“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Imam Malik rahimahullah berkata:

“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Inilah antara pendapat Imam Syafie rahimahullah. Namun setiap kata-kata dan pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

WAKTU MULA MENYEMBELIH KORBAN

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat Hari Raya. Tidak dihukum sebagai ibadah korban bagi sesiapa yang menyembelih sebelum selesainya solat Aidil Adha. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Baginda bertanya apakah (disembelih) sebelum solat? Ia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Itu adalah daging kambing (sedekah) yang bukan kambing korban”.

“Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Hari Raya Korban) ialah kita solat, kemudian menyembelih (binatang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendpatkan sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan bagi keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim, 1961)

“Barangsiapa yang menyembelih sebelum kami bersolat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya”.

“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (solat Hari Raya), maka hendaklah dia mengulanginya”. (Hadis Riwayat Bukhari, kitab Al-Adahi, 5561. Muslim, 1962)

“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Hari2 untuk melaksanakan Ibdah Korban

Hari yang diizinkan menyembelih korban ialah hanya pada hari hari Tasyriq, iaitu sampai terbenamnya matahari diakhir hari Tasyriq. Demikianlah dari Ali bin Abi Talib, pendapat mazhab Hanafiah dan mazhab Syafi’eyah. (Lihat: Subulus Salam) Malah Imam Ahmad berpendapat seperti itu kerana beliau berkata:

“Ini adalah pendapat lebih dari satu sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Atsram menyebutkan antara mereka ialah: Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radiallahu anhuma”. (Lihat: Zaadul Ma’ad. 2/319)

Pendapat mereka ini ialah berpandukan kepada hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Pada semua hari-hari Tasyriq adalah hari sembelihan (korban)”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/8. Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Lihat: Zaadul Maadm, 11/318, Ibnul Qaiyim. Dan dihasankan oleh Sheikh Ali Hasan Abdul Hamid. Lihat: Ahkamul Iedain)

“Dari Ibnu Umar berkata: Berkorban dua hari setelah hari Adha Masuk Hari Raya)”. (Hadis Riwayat imam Malik)

Sesiapa yang menyembelih dengan niat untuk berkorban selepas hari-hari yang dinyatakan di atas, iaitu setelah berlalunya hari Tasyrik, maka tidak lagi terhitung sebagai ibadah korban, kerana hari Tasyriq telah luput, maka sembelihannya hanya dikira sebagai sedekah, tidak dihukum sebagai ibadah korban